Saturday 28 December 2013

Keimanan Dan Ketakwaan Kepada Allah



   Iman boleh diibaratkan sebagai akar kepada sebatang pokok. Biji benih tidak akan mengeluarkan tunas tanpa didahului oleh akar yang menjunam ke bumi. Pokok yang tumbuh tanpa akar yang menjunam ke dasar bumi akan tumbang pada bila-bila masa. Manakala takwa pula adalah buah lazat yang terhasil daripada sebatang pokok yang subur dan indah menjadi tujuan utama para penanamnya. Demikian juga dengan iman dan takwa pada diri seseorang mukmin, tanpanya bererti Muslim hanya pada nama sahaja. Rasulullah SAW bersabda:

“Bukanlah keimanan itu sesuatu yang boleh dicita-cita dan dihias-hias, tetapi ia adalah sesuatu yang mantap dalam sanubari dan dibuktikan dengan amalan”.

Sayidina Ali RA ketika menjelaskan takwa pula menyebut takwa ialah:

“Takut kepada Rab al-Jalil, beramal dengan wahyu yang diturunkan dan menyediakan bekal untuk perjalanan yang jauh ke negeri akhirat”.

Oleh itu iman dan takwa mestilah diletakkan sebagai asas kepada binaan tamadun manusia. Sesebuah pembangunan yang tidak diasaskan kepada asas iman dan takwa dikhuatiri akan terjebak kepada penyelewengan terhadap peraturan Allah dan syariat-Nya serta mencerobohi alam tanpa batas dan kawalan. Sebab itu, al-Qur’an sejak awal-awal lagi menegaskan:

“Adakah mereka yang mengasaskan binaannya (masjid Dhirar) berasaskan takwa dan Mardati’Llah itu lebih baik ataukah mereka yang mengasaskannya di tepi jurang yang dalam, lalu jatuh tersungkur bersama yang membinanya ke dalam neraka jahanam (itu yang lebih baik):: …”.
(al-Taubah: 109)

Kepentingan iman dan takwa kepada sesebuah tamadun memang tidak dapat dinafikan lagi; bukan sahaja kepentingan dari segi fizikal dan materialnya dengan mendapat keamanan, keharmonian dan kemakmuran dengan rezeki yang halal dan baik untuk kesihatan fizikal, tetapi juga yang lebih penting ialah dari segi menagih kasih sayang Allah dan kemurahan-Nya. Dalam hal ini banyak firman Allah yang membicarakan kebaikan-kebaikan yang bakal terima oleh insan yang bertakwa kepada Allah SWT Antaranya ialah firman Allah SWT yang bermaksud.:

“Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka pintu-pintu keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa dengan sebab usaha perbuatan mereka”.
(Al-A`raf : 96)

Takwa adalah bekal sepanjang perjalanan manusia di dunia. Takwa tidak boleh ditinggalkan sama sekali walaupun sekadar beberapa waktu, kerana dengan adanya takwa semua pekerjaan seseorang akan menjadi ibadah. Tanpa takwa, syaitan akan menyelit dalam jiwa manusia dan memusnahkannya. Tanpa takwa juga sesuatu perbuatan yang dilakukan akan menjadi hambar dan sia-sia malah mungkin juga akan terjebak dengan perlakuan lagha dan mungkar.

 Sebab itu Rasulullah memperingatkan:

“Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah amal buruk yang kamu telah lakukan dengan amalan yang baik supaya ia menghapuskannya serta berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang terpuji”.

Sabdanya lagi:

“Bertakwalah kepada Allah walaupun dengan seulas buah tamar”.

Hadis ini membawa maksud, jikalau hanya dengan menderma seulas tamar, seseorang boleh terlepas dari azab neraka, hendaklah ia melakukannya, kerana seksaan api neraka tidak tertanggung oleh sesiapa pun. Oleh itu, takwa dan iman amat diperlukan dalam proses pembinaan jati diri seseorang dan juga sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.

Bagaimana takwa boleh diusahakan
Al-Imam al-Nawawi ketika menghuraikan sifat Ihsan mengatakan: “Seseorang hamba tidak akan dapat mencapai tingkat takwa selagi tidak mencapai tingkat Ihsan”. Sabda Rasulullah SAW menegaskan insan:
“Ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat Allah, sekiranya engkau tidak melihat Allah, yakinlah bahawa Allah sedang memerhati kamu”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sifat muraqabatu’Llah11 mempunyai hubung kait yang amat erat dengan keimanan yang sebati dalam jiwa manusia. Keimanan kepada Allah yang memiliki sifat al-Sami` (Maha Mendengar) dan al-Basir (Maha Melihat) terhadap apa sahaja perlakuan hamba-Nya. Mustahil bagi Allah memiliki sifat-sifat lemah sebagaimana yang ada pada makhluk seperti tidur, lalai, leka dan sebagainya. Dalam pada itu juga Allah SWT memiliki sifat-sifat al-Muntaqim.12 Keyakinan terhadap sifat-sifat Allah di atas membawa seseorang hamba malu dan gerun untuk melakukan sesuatu yang dimurkai-Nya. Di sinilah munculnya ihsan dan takwa.

Peranan iman dan takwa dalam kehidupan masyarakat pelbagai etnik dan agama juga amat jelas apabila baginda Rasulullah SAW menghubungkan perintah berbuat baik kepada jiran dengan keimanan terhadap Allah dan hari akhirat. Sebagaimana sabda baginda SAW:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan jirannya...”.

Perkataan jiran dalam hadis ini, tidak dibatasi oleh agama dan warna kulit, tetapi merangkumi makna yang luas iaitu siapa sahaja yang menjadi jiran kepada seseorang Muslim dan mukmin ia mestilah dimuliakan. Demikian juga dengan amaran Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menyakiti dhimmiku (orang bukan Islam yang mendiami negara Islam dan membayar cukai jizyah) bermakna dia menyakiti ku”.


Dalam pada itu pula Rasulullah SAW memberikan kebebasan penuh kepada bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka semasa baginda memerintah Madinah.

No comments:

Post a Comment