Iman boleh diibaratkan sebagai akar
kepada sebatang pokok. Biji benih tidak akan mengeluarkan tunas tanpa didahului
oleh akar yang menjunam ke bumi. Pokok yang tumbuh tanpa akar yang menjunam ke
dasar bumi akan tumbang pada bila-bila masa. Manakala takwa pula adalah buah
lazat yang terhasil daripada sebatang pokok yang subur dan indah menjadi tujuan
utama para penanamnya. Demikian juga dengan iman dan takwa pada diri seseorang
mukmin, tanpanya bererti Muslim hanya pada nama sahaja. Rasulullah SAW
bersabda:
“Bukanlah keimanan itu sesuatu yang
boleh dicita-cita dan dihias-hias, tetapi ia adalah sesuatu yang mantap dalam
sanubari dan dibuktikan dengan amalan”.
Sayidina Ali RA ketika menjelaskan
takwa pula menyebut takwa ialah:
“Takut kepada Rab al-Jalil, beramal
dengan wahyu yang diturunkan dan menyediakan bekal untuk perjalanan yang jauh
ke negeri akhirat”.
Oleh itu iman dan takwa mestilah
diletakkan sebagai asas kepada binaan tamadun manusia. Sesebuah pembangunan yang
tidak diasaskan kepada asas iman dan takwa dikhuatiri akan terjebak kepada
penyelewengan terhadap peraturan Allah dan syariat-Nya serta mencerobohi alam
tanpa batas dan kawalan. Sebab itu, al-Qur’an sejak awal-awal lagi menegaskan:
“Adakah mereka yang mengasaskan
binaannya (masjid Dhirar) berasaskan takwa dan Mardati’Llah itu lebih baik
ataukah mereka yang mengasaskannya di tepi jurang yang dalam, lalu jatuh
tersungkur bersama yang membinanya ke dalam neraka jahanam (itu yang lebih
baik):: …”.
(al-Taubah: 109)
Kepentingan iman dan takwa kepada
sesebuah tamadun memang tidak dapat dinafikan lagi; bukan sahaja kepentingan
dari segi fizikal dan materialnya dengan mendapat keamanan, keharmonian dan
kemakmuran dengan rezeki yang halal dan baik untuk kesihatan fizikal, tetapi
juga yang lebih penting ialah dari segi menagih kasih sayang Allah dan
kemurahan-Nya. Dalam hal ini banyak firman Allah yang membicarakan
kebaikan-kebaikan yang bakal terima oleh insan yang bertakwa kepada Allah SWT
Antaranya ialah firman Allah SWT yang bermaksud.:
“Sekiranya penduduk negeri itu beriman
dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka pintu-pintu keberkatan
dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami
timpakan mereka dengan azab seksa dengan sebab usaha perbuatan mereka”.
(Al-A`raf : 96)
Takwa adalah bekal sepanjang perjalanan
manusia di dunia. Takwa tidak boleh ditinggalkan sama sekali walaupun sekadar
beberapa waktu, kerana dengan adanya takwa semua pekerjaan seseorang akan
menjadi ibadah. Tanpa takwa, syaitan akan menyelit dalam jiwa manusia dan
memusnahkannya. Tanpa takwa juga sesuatu perbuatan yang dilakukan akan menjadi
hambar dan sia-sia malah mungkin juga akan terjebak dengan perlakuan lagha dan
mungkar.
Sebab itu Rasulullah memperingatkan:
“Bertakwalah kepada Allah di mana
sahaja kamu berada dan ikutilah amal buruk yang kamu telah lakukan dengan
amalan yang baik supaya ia menghapuskannya serta berakhlaklah dengan manusia
dengan akhlak yang terpuji”.
Sabdanya lagi:
“Bertakwalah kepada Allah walaupun
dengan seulas buah tamar”.
Hadis ini membawa maksud, jikalau hanya
dengan menderma seulas tamar, seseorang boleh terlepas dari azab neraka,
hendaklah ia melakukannya, kerana seksaan api neraka tidak tertanggung oleh
sesiapa pun. Oleh itu, takwa dan iman amat diperlukan dalam proses pembinaan
jati diri seseorang dan juga sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.
Bagaimana takwa boleh diusahakan
Al-Imam al-Nawawi ketika menghuraikan
sifat Ihsan mengatakan: “Seseorang hamba tidak akan dapat mencapai tingkat
takwa selagi tidak mencapai tingkat Ihsan”. Sabda Rasulullah SAW menegaskan
insan:
“Ihsan itu ialah engkau beribadah
kepada Allah seolah-olah engkau melihat Allah, sekiranya engkau tidak melihat
Allah, yakinlah bahawa Allah sedang memerhati kamu”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sifat muraqabatu’Llah11 mempunyai
hubung kait yang amat erat dengan keimanan yang sebati dalam jiwa manusia.
Keimanan kepada Allah yang memiliki sifat al-Sami` (Maha Mendengar) dan
al-Basir (Maha Melihat) terhadap apa sahaja perlakuan hamba-Nya. Mustahil bagi
Allah memiliki sifat-sifat lemah sebagaimana yang ada pada makhluk seperti
tidur, lalai, leka dan sebagainya. Dalam pada itu juga Allah SWT memiliki
sifat-sifat al-Muntaqim.12 Keyakinan terhadap sifat-sifat Allah di atas membawa
seseorang hamba malu dan gerun untuk melakukan sesuatu yang dimurkai-Nya. Di
sinilah munculnya ihsan dan takwa.
Peranan iman dan takwa dalam kehidupan
masyarakat pelbagai etnik dan agama juga amat jelas apabila baginda Rasulullah
SAW menghubungkan perintah berbuat baik kepada jiran dengan keimanan terhadap
Allah dan hari akhirat. Sebagaimana sabda baginda SAW:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan
hari akhirat hendaklah ia memuliakan jirannya...”.
Perkataan jiran dalam hadis ini, tidak
dibatasi oleh agama dan warna kulit, tetapi merangkumi makna yang luas iaitu
siapa sahaja yang menjadi jiran kepada seseorang Muslim dan mukmin ia mestilah
dimuliakan. Demikian juga dengan amaran Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang menyakiti dhimmiku (orang
bukan Islam yang mendiami negara Islam dan membayar cukai jizyah) bermakna dia
menyakiti ku”.
Dalam pada itu pula Rasulullah SAW
memberikan kebebasan penuh kepada bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka
semasa baginda memerintah Madinah.